Abstrak Kajian Penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang Dalam Sukan Dan Rekreasi (2005)
ABSTRAK
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) merupakan organisasi kerajaan yang paling hampir dengan masyarakat. Hubungan sektor PBT dengan sukan & rekreasi adalah saling bergantungan. PBT membangunkan sukan melalui dasar dan pentadbiran yang diwujudkan manakala perkembangan industri sukan dan rekreasi memantapkan sosioekonomi masyarakatnya. Adakah isu ini sama sifatnya di setiap kawasan PBT? Kajian ini memberi fokus kepada penglibatan Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBT Pasir Gudang) dalam sukan dan rekreasi. Kajian ini dijalankan secara kualitatif dengan menggabungkan beberapa kaedah termasuk kajian perpustakaan, analisa dokumentasi, temubual personal dan kerja-kerja pemerhatian secara berterusan bagi membantu pengkaji menggarap dan memahami perkembangan sukan dan rekreasi sebenar di sini. PBT Pasir Gudang memainkan peranan penting membangunkan sukan dan rekreasi, bukan sahaja membina kemudahan malah terlibat secara langsung dalam program sukan dan rekreasi di peringkat domestik, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Kebanyakan perkhidmatan dan program sukan dan rekreasinya dijalankan secara korporat dan usahasama dengan anak-anak syarikat Johor Corporation, pihak NGO, pihak swasta, agensi kerajaan dan kerajaan negeri. Pengurusan korporat menjamin pelestarian sukan dan rekreasi terutamanya sukan pelancongan. Jelas sekali, PBT Pasir Gudang telah mengambil tanggungjawab sepenuhnya memajukan sukan dan rekreasi. Sukan dan rekreasi diberi perhatian istimewa kerana ia memberi impak positif kepada daerah, negeri dan seluruh rakyat Johor.
No comments:
Post a Comment